Satu persoalan yang agak popular, lebih-lebih lagi orang yang baru bekerja. Selalunya kita ada mempunyai barang yang ingin kita miliki sejak di bangku sekolah lagi. Baik kereta, rumah, atau lain-lain. Bila sudah bekerja, bila ada duit sendiri mula berangan nak beli itu, beli ini. Tapi, persoalannya sekarang: Haruskah kita membuat pinjaman, atau bersabar sehingga duit yang kita ada mencukupi baru beli? Saya akan mengupas isu ini dari pandangan saya sendiri.
Untuk kebanyakan orang, pinjaman merupakan satu opsyen yang sangat munasabah dan cepat. Sebab, kalau nak kumpul duit memang memakan masa yang banyak. Lagi satu, kita pun memang dah tak sabar nak bawak kereta baru, nak pakai itu ini. Bagi saya, adalah lebih baik kalau kita beli sesuatu barang itu hanya setelah kita mampu membelinya secara tunai. Sebab-sebabnya akan saya kupas dalam perenggan berikutnya.
Sebab yang pertama, kita tak tahu masa hadapan kita. Ini memang salah satu sebab utama mengapa membuat pinjaman adalah sesuatu yang bagi saya, harus dielakkan. Ini adalah kerana, seseorang yang terikat dengan pinjaman bank atau mana-mana jenis pinjaman akan terikat dengan pinjaman tersebut selama mana dia belum habis bayar. Kalau 10 tahun, 10 tahunlah. Jadi, apakah kita tahu apa yang akan berlaku dalam masa 10 tahun akan datang? Apakah kita mampu untuk kekal membayar pinjaman tersebut? Sedangkan orang yang kaya pun belum boleh kata yang mereka akan kaya sampai bila-bila. Kita bukannya boleh menentukan masa depan. Yang kita boleh buat hanyalah sekadar berusaha, namun itu bukanlah suatu jaminan yang semuanya akan menjadi seperti yang kita inginkan.
Sebab yang kedua, kita perlu bayar lebih banyak dari yang kita pinjam. Memang pun, kalau tidak tak kan bank sanggup bagi pinjam duit beribu-ribu. Padahal bukannya dia orang kenal pun dengan kita. Lainlah kalau adik beradik sendiri, tak pun kenalan. Sebab mereka nampak peluang untuk menambah/menggandakan wang yang mereka ada. Biasalah mentaliti bisnes.
Rasanya itu sahaja argumen yang saya boleh beri. Namun begitu, terpulang kepada masing-masing samada mahu menerima ataupun tidak. Apa yang penting, pandangan yang saya beri tadi bukanlah 100% betul. Jadi, buatlah keputusan dengan bijak. Akhir kata, selamat beramal! Assalamualaikum....



